Buku itu diterbitkan selepas Obama dilantik menjadi warga Afrika Amerika pertama menjadi presiden Harvard Law Review, dan sekali lagi diterbitkan menjelang detik dia menyampaikan ucapan di Konvensyen Kebangsaan Demokrat 2004.
Bermula sebagai senator, Obama yang selalu disebut-sebut pencipta sejarah itu akhirnya disahkan sebagai bakal presiden Amerika Syarikat mulai Januari tahun depan ketika seluruh dunia semakin muak dan mual dengan dasar membuli yang dilaksanakan pemerintah zalim dan paling dilaknat, George W Bush.
Obama, 47, disebut-sebut sebagai pembawa perubahan kepada AS.Dan komen seumpama itu jugalah – jika anda masih mengingatinya – diucapkan masyarakat dunia ketika seorang lagi presiden daripada parti Demokrat, Bill Clinton, menduduki Rumah Putih menggantikan George W Bush pada 1993. Tetapi Clinton itu jugalah mencetuskan gerakan ketenteraan terhadap Iraq di bawah Saddam Hussein ketika dia memberi ucapan tahunan di depan Kongres AS. Untuk berlaku adil, memang tidak salah untuk berharap kepada Obama.
Dia merupakan presiden AS pertama bukan berkulit putih. Dia juga dianggap masih muda, sekali gus pengalamannya dipertikaikan lawannya sepanjang tempoh berkempen menjelang pemilihan baru-baru ini.
Namun, pendekatan digunakan kem Obama nampaknya benar-benar berjaya memukau bukan saja pengundi AS, malah berkesan mengolah kesamaan pendapat warga dunia. AS digambarkan bakal menjadi lebih lunak dan memahami perasaan manusia.
Rumah Putih juga dibayangkan bakal mengurangkan kesibukannya untuk berperang dengan sesiapa saja. Dalam tubuh Obama mengalir darah bukan Amerika sehingga dia dianggap akan lebih berperikemanusiaan.
Dalam asyik berkhayal mengenai keunikan itulah dia melantik Rahm Emanuel sebagai Ketua Staf Rumah Putih – jawatan paling kanan dan rapat dengan presiden.
Emanuel – atau nama penuhnya Rahm Israel Emanuel – adalah anak kepada Benjamin M Emanuel, seorang bekas anggota kumpulan militan Israel, Irgun, yang aktif bergerak di Palestin di antara 1931 dan 1948.
Nama ‘Rahm’ itu sendiri dipilih bapanya sempena nama seorang daripada anggota pasukan separa tentera Israel, Lohamei Herut Yisrael (Lehi), Rahamin, yang terbunuh ketika bertugas di Palestin.
Untuk rekod, Lehi (bermaksud pejuang pembebasan Israel) adalah pertubuhan bawah tanah Zionis yang bergerak untuk mengusir tentera Britain dari Palestin menggunakan senjata. Ia juga membenarkan kemasukan tanpa had imigran Yahudi ke bumi Palestin bagi membentuk negara Israel.
Obama juga memenangi pilihan raya presiden ketika AS dan dunia menghadapi krisis kewangan parah. Memetik kata-katanya sendiri, krisis semasa ini dianggap cabaran paling serius dalam hidup. Justeru, Obama menggesa warga AS bersatu padu demi persamaan matlamat selepas pengundian selesai.
Akibat kegawatan kewangan itu, dianggarkan kini 10 juta warga AS kehilangan kerja atau bakal menjadi penganggur. Pakar ekonomi menjangkakan kesan sebenar daripada krisis itu belum muncul sepenuhnya.
Keadaan itu mengingatkan kita kepada suasana menjelang Perang Dunia Kedua dulu. Seluruh dunia termasuk Asia Tenggara menghadapi masalah pengangguran yang serius.
Justeru, jawapannya – perang!
Melalui peperangan, ekonomi boleh berkembang pesat. Saudagar senjata – yang kebanyakannya dikuasai kapitalis Yahudi atau Barat – memperoleh keuntungan lumayan.
Dalam era kacau-bilau, bukan saja negara berperang memerlukan senjata untuk mempertahankan diri, sebaliknya negara lain yang bimbang atau ditakut-takutkan akan berlumba-lumba menghulur kekayaan kepada syarikat pengeluar senjata.
Maka, Iran dan Syria adalah dua negara yang sangat berpotensi menjadi pencetus kepada pemulihan ekonomi gaya kapitalis AS itu.
Formula perang untuk ekonomi itu sentiasa berjaya mengurangkan pengangguran dan mencergaskan sektor industri.
Memanglah Obama mencanangkan dasar berdialog dengan negara ‘paksi jahat’ dilabel AS. Tetapi berbincang adalah berbincang dan sama sekali tidak terikat dengan penyelesaian aman. Perbincangan boleh saja gagal dan tindakan kekerasan boleh diambil jika keadaan memerlukan.
Pada masa sama, al-Qaeda dan Osama bin Laden masih terus menjadi isu di Rumah Putih. Walaupun al-Qaeda dilihat sebagai ‘bisul’ untuk Washington, hubungan AS dan kumpulan militan itu boleh dianggap sebagai benci tapi sayang.
AS sebenarnya boleh berterima kasih berkali-kali kepada al-Qaeda kerana memberikan mereka sedikit alasan menggunakan tentera di beberapa negara atau wilayah yang dianggap kurang jinak dengan mereka.
Di pihak lain, barangkali Osama sendiri melihat sesuatu yang menarik pada Obama. Justeru tiada sebarang kenyataan dibuat pemimpin tertinggi al-Qaeda itu setakat ini.
Pada 2004, Osama muncul mengecam Bush menjelang pilihan raya presiden. Kritikan dan ancaman Osama berjaya mempengaruhi pengundi supaya lebih fobia dan menyerahkan masalah pentadbiran negara itu sekali lagi kepada Bush.
Maka berjayalah Osama mengekalkan kebencian dunia kepada AS.
Kini, sementara menunggu masa Obama memasuki Rumah Putih, biarlah masa menentukan kecenderungan (dan wajah sebenarnya) untuk membawa perubahan kepada AS.
Obama memang bukan Osama, tetapi ada satu faktor yang merapatkan jurang kedua-dua mereka – kebimbangan terhadap keselamatan dunia.
Warga dunia boleh saja berharap kepada Obama. Tetapi untuk percaya kepadanya, tentu saja perlukan pertimbangan berkali-kali. Jika tidak, bersedialah untuk kecewa lagi.