Khamis, Mac 18

~ Kebajikan Yang Perlu Dijaga ~

blogger-emoticon.blogspot.com

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

16/3/10, Selasa : Unit Kebajikan Pelajar (UKP) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah ke Klang, bagi melawat dan menziarah keluarga Allahyarhamah Azirah dari Fakulti Ekonomi dan Perniagaan (FEP). Arwah yang merupakan mahasiswi Kolej Keris Mas, tahun 1, telah kembali ke Rahmatullah pada 11 Disember 2009 akibat sakit buah pinggang. UKP yang diwakili oleh Puan Ruslinah telah mengambil inisiatif untuk menyumbangkan sedikit bantuan kewangan untuk keluarga mangsa. Turut hadir sama ialah Exco Prasarana, Keselamatan, Dan Pengangkutan, Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM), Saudara Mohd Rasydan bin Mohd Rais, dan En. Anuar dari Unit Kenderaan, UKM.

Wakil dari UKM ini bertolak dari Pusanika, UKM pada jam 10.45 pagi, dan tiba di rumah arwah pada jam 11.30 tengahari. Setibanya di sana, mereka disambut oleh Cik Halimah, kakak kepada arwah. Pada waktu itu, ayah arwah, En. Zulkifli telah keluar bekerja, manakala ibunya, Pn. Suzana keluar menghadiri kelas mengaji Quran di rumah kawannya.



Menurut Cik Halimah, arwah telah kembali ke rahmatullah setelah sebulan setengah terlantar di hospital dalam keadaan koma. Menurutnya lagi, keadaan arwah mula kritikal semasa minggu ulangkaji Semester 1, sesi 09/10.

'Semasa arwah berada di rumah pada minggu ulangkaji, arwah tak boleh bangun. Kami ingat arwah terkena keracunan makanan, sebab pada waktu itu, arwah deman dan mengalami muntah-muntah. Selain itu, arwah juga kerap membuang air kecil.' ujar Cik Halimah. 'Kerana tak sanggup melihat kesusahan dan penderitaan arwah, kami berpakat untuk memanggil ambulan, dan membawa arwah ke Hospital Kuala Lumpur.' ujarnya lagi.



Difahamkan, arwah tidak menunjukkan simptom-simptom awal penghidap penyakit buah pinggang. Namun, setelah diagnosis dijalankan, keputusan menunjukkan terdapat komplikasi pada kedua-dua buah pinggang arwah. Segala usaha telah dilakukan oleh pihak hospital, termasuklah Dialisis. Tetapi, segala usaha tidak berhasil. Dan arwah kembali ke rahmatullah pada 11 Disember 2009.

Tujuan utama Pn. Ruslinah dari UKP, UKM hadir adalah untuk memberi sumbangan Tabung Khairat Kematian, yang berjumlah RM 2,500.00 kepada keluarga mangsa. Selain itu, UKP juga memohon keluarga arwah untuk ke pejabat UKP di Pusanika, UKM untuk mengisi borang insurans, dan laporan perubatan untuk diserahkan kepada pihak yang berkenaan. Apabila ditanya mengenai status PTPTN, Pn. Ruslinah memberi jaminan bahawa pihaknya akan membantu sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Rasydan ketika dihubungi berkata, "Saya amat bersimpati terhadap keluarga mangsa. Saya juga baru dimaklumkan hal ini, oleh UKP. Seterusnya, kami merancang untuk menziarah keluarga mangsa dan cuba memberi bantuan sedaya upaya kami. Saya memohon kepada semua mahasiswa/i UKM untuk memaklumkan segala permasalahan mengenai kebajikan atau apa-apa sahaja, tak kisah sama ada dari segi kewangan atau tidak, terus kepada saya, PMUKM, atau UKP untuk kami mencari ruang-ruang yang boleh kami bantu untuk meringankan beban mahasiswa/i sekalian.'

Justeru, sesiapa yang mempunyai masalah, bolehlah menghubungi saudara Rasydan di talian 013-2509846, atau emelkan ke rasydanpmukm@gmail.com. Segala kerjasama, didahului dengan ucapan terima kasih.

Duduk dari kiri : Cik Halimah (kakak arwah), Puan Ruslinah (UKP), dan Pn. Suzana (ibu arwah)
Barisan kedua : En. Anuar (Unit Kenderaan), Rasydan (PMUKM)

0 Comments:

 
blogspot counter