Rabu, Mei 26

~ Presiden PMUKM - "Tenang Hadapi Perbicaran" ~

KENYATAAN PRESIDEN PERSATUAN MAHASISWA

UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA:

4 PELAJAR UKM DI DAKWA DI ATAS KESALAHAN AUKU

Empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), jurusan Sains Politik bakal dibicarakan pada 2 dan 3 Jun ini di Mahkamah Universiti. Mereka bakal dikenakan tindakan di bawah Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU), pindaan 2008, yang secara jelas melarang kesemua pelajar IPTA, kecuali UIAM dan UITM menyertai, atau memberi sokongan kepada mana-mana parti politik, atau mana-mana pertubuhan, badan, atau kumpulan yang menyalahi undang-undang. Tindakan mereka yang mengecam Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) umumnya, dan UKM, khususnya adalah tidak wajar dan menunjukkan ketidak matangan mereka. Tuntutan mereka yang meminta UKM menarik balik dakwaan juga merupakan tuntutan yang tidak berasas. Pada hemat saya, mereka sepatutnya menghadiri prosiding dan perbicaraan dahulu dan memberi kerjasama yang baik sepanjang perbicaraan. Tindakan menghantar referendum, memorandum dan membuat petisyen yang mendesak dan terlalu agresif itu, bakal mengeruhkan keadaan lagi.

Bercakap soal AUKU. AUKU telah pun dipinda pada tahun 2008. Pindaan yang jelas melarang pelajar menyertai mana-mana parti politik, saya lihat lebih banyak kebaikan dari keburukan. AUKU ini tidaklah menyekat dan menghalang mana-mana pelajar dari kegiatan berpersatuan, apatah lagi membina kemahiran insaniah seperti yang digembar gemburkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab. AUKU pindaan 2008 telah memberikan kebebasan berpersatuan kepada pelajar, dimana-mana ianya membenarkan pelajar universiti menjadi ahli mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan sama ada atau ianya ditubuhkan dibawah mana-mana undang-undang bertulis sama ada ia di dalam atau di luar universiti, dan sama ada ia di dalam atau luar Malaysia, kecuali parti politik, sama ada di dalam atau luar negara, pertubuhan, badan atau kumpulan yang dikenalpasti oleh menteri sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau universiti.

Larangan politik keatas pelajar dapat dilihat kebaikannya melalui beberapa perkara berikut. Pertamanya, penglibatan pelajar secara aktif dalam politik akan mewujudkan polarisasi kaum, ideologi dan agama dalam kalangan pelajar. Lebih membimbangkan apabila universiti yang sepatutnya aman dan tenang dan sesuai untuk belajar, menjadi tidak kondusif akibat daripada pergerakkan politik yang kadangkala, bahkan sepanjang masa mempunyai percangahan ideologi, visi, dan misi perjuangan.

Keduanya ianya mengelakkan pelajar terpengaruh dengan mana-mana parti politik yang boleh mempengaruhi keutamaan pelajar untuk menuntut ilmu. Apakah perasaan ibu bapa yang berniat melihat kejayaan anaknya dalam pelajaran, tiba-tiba ditangkap dan dihukum buang daripada universiti? Saya pasti, menitik air mata ibu, berkecai harapan dan impian bapa, apabila anak mereka didakwa dan dihukum sedemikian. Matlamat, harapan, dan impian ibu bapa juga perlu diberi perhatian, kerana syurga itu dibawah telapak kaki ibu.

Pelajar universiti telah menerima hampir 90% subsidi pendidikan daripada peruntukan kewangan kerajaan. Maka, sudah pasti, kerajaan mengharapkan pelajar tersebut memberi sepenuhnya tumpuan kepada pelajaran, dalam usaha untuk membantu meningkatkan mutu dan taraf hidup, dan seterusnya menaikkan lagi nama Malaysia di persada dunia.

Berkenaan kenyataan keempat-empat tertuduh ingin membuat kerja lapangan di Hulu Selangor, saya fikir, tiada sebarang masalah dan halangan untuk mereka membuat sedemikian untuk kajian ilmiah mereka, sekiranya, mereka mendapat kebenaran bertulis daripada pensyarah, dan di sokong oleh Prof. Dato’. Dr. Mohammad Abdul Razak, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM. Pekeliling universiti telah pun dikeluarkan , dimana intipatinya melarang mana-mana pelajar terlibat atau menunjukan simpati dan sokongan pada mana-mana parti politik, tidak hanya menjurus kepada sebahagian parti politik sahaja. Sebagai seorang pelajar yang boleh dikatakan membawa imej dan nama UKM, saya fikir, kita perlu mematuhi peraturan-peraturan universiti, apatah lagi, larangan TNC HEPA yang merupakan “ayah” kepada kita di bumi UKM.

Jadi, saya berharap agar isu ini tidak diperbesarkan dan menjadi agenda atau isu kepada mana-mana parti politik. Kepada pelajar yang terbabit, Ismail Aminuddin, Hilman Idham , Woon king Chai, dan Azlin Shafina Adzha, saya berharap agar anda semua tenang dan memberikan kerjasama yang baik sepanjang perbicaraan. Pihak PMUKM akan membantu sebaik mungkin untuk melindungi dan memperjuangkan kebajikan anda. Jangan turuti hati,perasaan dan nafsu amarah kerana kelak, ia bakal menyusahkan anda dan orang-orang disekeliling anda. Gunalah akal ciptaan Ilahi sebaiknya. Sesungguhnya, akal yang baik menunjuk anda seorang yang bijaksana, professional, dan yang paling penting, MATANG.

“MAHASISWA TUNJANG ASPIRASI UNIVERSITI”

MOHD HAMZAH ZAINUL ABIDIN

PRESIDEN

PERSATUAN MAHASISWA

UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

0 Comments:

 
blogspot counter