Sabtu, Mei 22

~ Salam Ulangtahun UKM ~


Konsert DiRaja UKM 2010, sempena Ulang Tahun Ke-40 UKM ini dilaksanakan sebagai tanda penghargaan seluruh warga Kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Canselor, dan DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, dan DYMM Raja-raja Melayu yang tidak ternilai dek emas dan permata.

Konsert ini menggabungkan lebih 60 orang pemuzik yang terdiri dari kakitangan, pelajar-pelajar UKM dari Ijazah, Sarjana hingga ke peringkat Doktor Falsafah, dan Alumni UKM yang merupakan Ahli Bersekutu bagi kumpulan yang amat hebat, iaitu Kumpulan Orkestra UKM.

Lagu-lagu yang dipilih untuk dipersembahkan, telah digubah semula muziknya oleh Mohamad Adzan Mohd Fadzil, Pegawai Kebudayaan di Pusat Kebudayaan UKM. Dato' Johari Salleh yang merupakan tokoh muzik terkenal tanahair, yang juga merangkap Felo Kanan, Bahagian Kokurikulum, Pusat Perkembangan Pelajar (PPP) UKM, turut terlibat dalam persembahan orkestra, dimana beliau menjadi konduktor. Persembahan orkestra ini turut diserikan dengan penglibatan kumpulan tarian ARTISUKMA dan nyanyian oleh dua artis undangan yang terkemuka, iaitu Aishah, dan Roy.

Konsert kali ini menjadi bertambah menarik, apabila anakanda DYMM Tuanku Canselor, YAM Tunku Zain Al-Abidin ibni Tuanku Muhriz, mempersembahkan Persembahan Piano Solo yang dialunkan dengan merdu sekali. Anak kepada Datuk Seri Malek Radzuan, Mohd Hajizzam Datuk Seri Malek Ridzuan, turut terlibat dalam penganjuran Konsert DiRaja UKM 2010, apabila menyanyikan lagu Ku Cari Damai Di Hati, sebelum berduet dengan Nur Suhaida Mat Harun dengan mendendangkan lagu Doa Buat Kekasih. Nur Suhaida sebelum itu menyanyikan lagu Ayat-ayat Cinta yang dipopularkan oleh Rossa.

Sesungguhnya penganjuran konsert ini merupakan satu usaha UKM dalam mempertingkatkan dan memartabatkan seni persembahan Orkestra yang unggul dengan menerapkan daya apresiasi muzik secara ilmiah dan menggalakkan integrasi para pemuzik.

SELAMAT ULANGTAHUN KE-40 UKM!


0 Comments:

 
blogspot counter