Isnin, April 19

~ Ekoran Kes Penyamaran ~

KUALA LUMPUR: Khidmat komandan Kem Cahaya Gemilang di Cherating, Pahang, diberhentikan berikutan kesilapannya membenarkan remaja lelaki berusia 18 tahun yang menyamar sebagai anak angkat Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah melawat ke kem berkenaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tindakan disiplin tersebut adalah wajar kerana perkara seperti itu yang terang-terang memalukan, tidak sepatutnya berlaku.

Justeru soal menuding jari kepada Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, tidak seharusnya timbul kerana kejadian itu bukan kesilapan beliau.

"Ini bukan satu kesilapan oleh dia (Abdul Hadi) kerana ia datang daripada komandan kem tersebut, maka ketua pengarah ketika itu berpendapat lawatan itu telah mendapat restu.

"Apabila kita mendapat tahu bahawa berlaku penyamaran di situ, maka kita mengambil tindakan disiplin terhadap komandan tersebut atas kesilapan yang telah dilakukannya," katanya pada sidang media di Pameran dan Persidangan Pertahanan Perkhidmatan Asia 2010 (DSA 2010) di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya kini akan lebih berhati-hati untuk "membuka pintu" dengan menilai dan menyiasat secara menyeluruh terlebih dahulu setiap permohonan oleh pihak luar untuk membuat lawatan ke kem-kem PLKN.

Katanya, masyarakat tidak sepatutnya meragui tahap keselamatan di kem-kem PLKN dan memberi jaminan tahap keselamatan di semua kem berada di tahap paling tinggi.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Pertahanan meletakkan syarat ketat kepada remaja berkenaan untuk menjalani latihan di kem PLKN.

"Kita menawarkan untuk memberikan remaja itu kaunseling oleh pasukan perubatan Kor Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlebih duhulu bagi mengetahui aspek-aspek psikologi terhadap peribadi beliau.

"Apabila ia telah selesai, barulah kita akan menentukan sama ada mahu menawarkan tempat untuk beliau mengikuti kursus di kem PLKN," katanya.

Remaja terbabit yang juga pelajar pintar dikatakan antara lain memperdayakan seorang Exco kerajaan negeri Pahang dengan menggunakan gelaran "Yang Mulia Tuan Muda" dan mendakwa bahawa dia adalah anak angkat kepada Tengku Abdullah untuk memasuki semua kem PLKN di Pahang.

Bagaimanapun, penyamaran itu terbongkar apabila seorang pelatih PLKN di Kem Cahaya Gemilang, Cherating mengetahui identiti sebenarnya. - Bernama


Reaksi Penulis :

Siapa yang perlu dipersalahkan tidak menjadi isu, yang menjadi isu adalah, bagaimana pemimpin-pemimpin yang merupakan seorang yang intelektual, yang ada bakat kepimpinan, boleh terpedaya dengan seorang remaja berusia 18 tahun. Sedikit memalukan. Lebih memalukan apabila Exco Kerajaan Negeri turut tertipu.

Kalau Exco Kerajaan Negeri dari negeri lain, saya fikir, boleh lah dimaafkan. Tetapi, apa yang berlaku, ialah, Exco Kerajaan Negeri Pahang yang tertipu dengan remaja yang mengaku anak angkat kepada Tengku Abdullah, anak kepada Sultan Ahmad Shah, Sultan Pahang. Sungguh memalukan.

Exco Kerajaan Negeri patut dipecat!!


Apa pun, tahniah kepada pelajar pintar kerana berjaya membongkar sifat pemimpin-pemimpin di Malaysia. Anda memang hebat!!

0 Comments:

 
blogspot counter