Jumaat, April 9

~ Kisah Si AdukaTaruna~

Aduka Taruna…

Nama ini tiba-tiba menjadi popular. Kalau tidak silap ini adalah gabungan kepada nama dua watak utama di dalam filem lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee iaitu Semerah Padi. Di dalam filem itu Aduka dan Taruna adalah sahabat baik yang ditugaskan untuk mentadbir kampung mereka. Klimaks filem itu ialah apabila Aduka terlanjur berzina dengan Dara tunangannya Taruna lalu dihukum..

Bagaimana dengan AdukaTaruna yang satu ini pula..?

Ramai yang baru mengenalinya termasuk saya. Kalau tidak kerana popularitinya yang naik mendadak rasanya tidak mungkin saya akan menjejakkan kaki ke terataknya. Berdasarkan entri-entri di blog beliau bolehlah kita katakan yang AdukaTaruna ini begitu kuat berpegang kepada ideologinya. Penyampaiannya ada gaya tersendiri walaupun kadangkala ada yang terkeluar dari norma kemanusiaan.

Dari apa yang beliau tulis dan ngomelkan di blognya kita dapat rasakan ada sesuatu yang mahu disampaikan berkenaan dengan sepak terajang politik negara ini tetapi mungkin kerana terlalu banyak bantahan di dalam fikirannya akhirnya tanpa sengaja AdukaTaruna telah menjerat dirinya sendiri. Benarlah sebagaimana nasihat Muslim Yasar :

“Berhati-hati ketika berbantahan, kerana berbantahan itu saat bodohnya orang berilmu.Dan pada saat itulah syaitan berusaha supaya keadaan tergelincir.

Itulah yang terjadi kepada AdukaTaruna. Atas rasa kebencian pada satu pihak beliau telah melukakan satu pihak lain dan akhirnya diheret ke muka pengadilan. Beliau telah terlanjur sebagaimana terlanjurnya Aduka menodai kesucian Dara. Perkara itu tidak boleh ditarik balik dan pihak yang dilukakan bukan golongan sebarangan . Jika Aduka telah dibuktikan kesalahannya lalu dihukum sebat maka bagaimana pula nasib AdukaTaruna?

Banyak respon yang dapat kita saksikan susulan kes AdukaTaruna ini. Ada yang bersimpati dan bukan sedikit yang mengeji dengan kenyataannya yang berani mati! Rasanya tak perlulah kita pula yang menjadi AdukaTaruna. Janganlah nanti kita pula yang terlanjur atas sebab keterlanjurannya yang tanpa sedar telah menghina Almarhum Sultan Johor. Ingat kata-kata Benjamin Franklin:

“Tiada siapa yang boleh terlepas daripada melakukan kesilapan. Akui kesilapan anda, kesalinya, dan belajar daripadanya”

Sebagai Rakyat Johor saya sudi memaafkan keterlanjuran AdukaTaruna tetapi mampukah undang-undang memaafkan beliau?

Tertarik juga dengan beberapa komen berkenaan isu ini yang mengatakan kita sepatutnya hanya mentaati Allah dan Rasul sahaja bagi menyatakan tindakan Adukataruna ini tidaklah keterlaluan. Wahai teman-teman yang menyokong komen ini ingatlah satu hadis sahih yang direkodkan oleh Bukhari :

“Sesungguhnya Nabi SAW dilintasi di hadapannya oleh satu jenazah, lalu baginda berdiri. Diberitakan kepada baginda bahawa ia adalah jenazah seorang Yahudi. Lalu baginda bersabda: “Tidakkah ia satu jiwa?”

Itu seorang Yahudi, bagaimana pula dengan saudara seislam dengan kita yang juga merupakan seorang Pemimpin?

Tidak perlulah kita saling membantah sesama kita dek kerana seorang manusia yang menggelarkan dirinya AdukaTaruna ini. Beliau telah sedar akan kesalahan yang dilakukan dan sekarang sedang menanti apakah hukuman dunia yang akan dikenakan terhadap beliau. Nasihat untuk kita semua:

“Renungkan kesalahan sendiri sebelum anda tidur, dan kesalahan orang lain setelah terlena”(Peribahasa Cina)

credited to : Bro Nuaeman

0 Comments:

 
blogspot counter