Sabtu, April 17

~ Khas Untuk Mahasiswa Dan Cendekiawan Dalam Bidang Bioteknologi ~

Bioteknologi merupakan satu bidang sains yang dikaji untuk membantu meningkatkan kualiti hidup manusia dari pelbagai segi, misalnya dalam bidang pertanian, perubatan dan kualiti alam sekitar. Bioteknologi ialah proses di mana sel atau organisme (biologi) digunakan sebagai bahan asas dalam proses (teknologi) untuk menghasilkan sesuatu produk. Dalam erti kata lain bioteknologi merupakan kajian sains mengenai benda hidup dengan menggunakan teknik atau proses teknologi untuk meningkatkan penghasilan sumber hidupan dan penghasilan pelbagai produk lain.

Bioteknologi terbit daripada dua unsur iaitu ‘biologi’ dan ‘teknologi’. Kamus Dewan mentakrifkan ‘biologi’ sebagai ilmu hayat atau benda-benda hidup. Sementara ‘teknologi’ itu pula bermakna ilmu pengetahuan mengenai segala ilmu yang berkaitan dengan perindustrian dan sains gunaan yang mempunyai nilai ekonomi.

Persidangan mengenai kepelbagaian Biologi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah membuat satu takrifan bagi bioteknologi: “Bioteknologi bererti sebarang penggunaan teknologi yang menggunakan sistem biologi, organisma hidup, atau teori terhasil darinya, bagi menghasilkan atau mengubah barangan atau proses bagi kegunaan khusus.”

Walaupun kini bioteknologi telah memainkan peranan penting dalam pelbagai aktiviti kehidupan, bioteknologi ini masih lagi perlu diperhalusi terutamanya dari segi status halal haram dan kesannya terhadap kesihatan dan kesejahteraan manusiawi dan alam. Menerusi kajian para saintis, bioteknologi ini masih terdapat kekurangan yang mampu membawa padah kepada manusia dan alam.

Teknologi baru yang radikal yang memecahkan sempadan genetik ini bukan sahaja antara spesis tetapi juga antara manusia, haiwan dan tumbuhan mendatangkan risiko serius serta ibarat meletakkan manusia sebagai ‘tikus makmal’.

Menurut pakar, keselamatan proses ujikaji kajian akan sentiasa berada dihujung tanduk kerana kesilapan yang berlaku tidak akan dapat ditarik balik daripada alam dan kesannya akan merebak tanpa sempadan. Tidak seperti kajian dan ujikaji kimia dan nuklear, ‘pencemaran genetik’ tidak dapat dibersihkan. Kesilapan genetik ini akan berpanjangan dan bersambung antara generasi ke generasi (Mohideen Abdul Kader, A guide to Genetically-modified Foods in Malaysia).

Edwin Chargoff, seringkali dirujuk sebagai Bapa Biologi Molekul, pernah menyatakan bahawa pengubahsuaian genetik di dalam makanan ibarat “Suatu eksperimen yang paling besar dan berbahaya di dalam sejarah manusia.” Beliau mengibaratkan pengubahsuaian ini sebagai ancaman yang paling besar berbanding teknologi nuklear.

Pada tahun 1998, Dr. Arpad Pusztai, seorang saintis British telah mempelopori kajian mengenai kesan makanan yang mengalami pengubahsuaian genetik (GM) terhadap nutrisi haiwan dan alam telah mendapati bahawa ia memberikan kesan negatif terhadap usus, badan,tahap metabolisma dan sistem imunisasi tikus yang diuji.

Kajiannya melibatkan ubi kentang GM yang diberikan kepada tikus bagi diperhatikan kesan perubahan pada fisiologi, terutamanya usus, proses metabolisma dan sistem imunisasinya. Kajian mendapati saiz beberapa organ tikus telah mengecil termasuk otak dan sistem imunisasi melawan penyakitnya bertambah lemah. Akibat daripada hasil dapatannya itu, Pusztai telah disingkirkan dan dipaksa bersara daripada pasukan ujikajinya di Rowett Tesearch Institute selepas melahirkan kegusarannya kepada media.

Antara ancaman makanan GM ini adalah alahan, kadar toksik, daya tahan antibiotik meningkat dan kesan-kesan sampingan luar jangkaan lain. Mengubahsuai struktur genetik suatu makanan juga boleh mewujudkan toksin pembunuh yang pada asalnya adalah selamat bagi tubuh badan.

Bakteria yang telah mengalami kejuruteraan genetik (GE) bagi tujuan menghasilkan makanan tambahan dalam kuantiti besar, L-tryptophan, telah menghasilkan toksik yang membunuh lebih 30 orang dan mencacatkan lebih 5,000 orang di Amerika Syarikat sebelum ditarik balik dan diharamkan penghasilannya oleh Food and Drug Administration (FDA).

Kajian yang dijalankan oleh Michigan State University juga mendapati tanaman yang melalui proses GM dan GE bagi melindungi daripada virus akan mengakibatkan virus tersebut bermutasi kepada suatu bentuk baru lebih berbahaya dan berupaya menyerang spesis tumbuhan dan hidupan lain.

Selain kesannya terhadap kesihatan dan alam, makanan yang dihasilkan melalui kaedah bioteknologi ini juga tidak terlepas daripada isu halal haramnya. Surah al-Baqarah ayat 172 bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah jika kamu benar-benar menyembah hanya kepada-Nya.”

Al Quran dan Sunnah memandang soal halal haram makanan ini sebagai suatu yang besar yang mana mampu memberi kesan terhadap kehidupan di dunia dan di akhirat. Menurut perkiraan Islam, soal halal haram makanan akhir yang diambil bergantung juga dengan persoalan asas bagaimana ia dihasilkan, dari mana ia dihasilkan dan siapa yang menghasilkannya.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud, “Hai manusia! Makanlah dari apa-apa yang ada di bumi ini yang halal dan baik, dan jangan kamu mengikuti jejak syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu musuh yang terang-terangan bagi kamu.” (al-Baqarah: 168).

Setiap kejadian alam ini, termasuklah tumbuh-tumbuhan telah di jadikan Allah dengan sempurna mengikut kitaran kehidupan masing-masing. Maka setiap cubaan untuk mengubah kitaran dan hukum alam ini, adalah seumpama cubaan untuk mencabar kekuasaan Allah. Dan setiap cubaan untuk mencabar kekuasaan Allah, pasti akan membawa kepada kehancuran. Oleh itu saya menyeru kepada semua pihak , usaha-usaha Bioteknologi! dalam hal tanaman dan pemakanan hendaklah dikaji semula, sebelum bencana menimpa!

0 Comments:

 
blogspot counter