Isnin, April 12

~ Isu Nuklear : Pendirian Malaysia ~



NAJIB bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor ketika tiba di Maryland, kelmarin.
NAJIB bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor ketika tiba di Maryland, kelmarin.
Najib sedia nyatakan pendirian Malaysia pada sidang kemuncak di Washington

Datuk Seri Najib Razak akan menyatakan pendirian Malaysia bahawa sebarang penggunaan senjata nuklear hanya digunakan untuk tujuan keamanan dan bukan isu yang boleh dipermain-mainkan pada Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di sini, hari ini. Perdana Menteri dijangka membangkitkan perkara itu selepas beliau menjelaskan terlebih dulu sikap Malaysia berhubung isu nuklear kepada Presiden Barack Obama.


Najib adalah antara 47 pemimpin dunia yang dijemput Obama untuk menghadiri sidang kemuncak itu yang diadakan julung kali bagi memupuk kerjasama global untuk menentukan bahan dan senjata nuklear tidak jatuh dalam tangan kumpulan pengganas. Najib akan menemui Obama pada sebelah pagi sebelum Presiden Amerika Syarikat (AS) itu merasmikan sidang kemuncak berkenaan pada sebelah petang.

Pemangku Menteri Luar, Datuk Seri Rais Yatim, berkata antara lain Malaysia akan mengemukakan pendirian berhubung anti-proliferasi dan pengurangan senjata nuklear dunia. Bercakap kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri mesyuarat persediaan lawatan kerja seminggu Perdana Menteri ke Amerika Syarikat, Rais tidak menolak kemungkinan isu nuklear membabitkan Iran dan Korea Utara turut dibangkitkan. Rais berkata, Najib mungkin membangkitkan soal penggunaan senjata nuklear secara meluas dan memberi pandangan cara mana masalah itu dapat diselesaikan.

“Malaysia akan mengemukakan pendirian klasiknya bahawa nuklear itu tidak boleh dipermainkan selain tujuan yang khusus untuk keamanan dunia,” katanya. Rais tidak nampak sidang itu mampu mencapai kata sepakat namun pendirian Malaysia yang cintakan keamanan akan lebih jelas. Beliau yang juga Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan berkata, Najib dan Obama juga akan menyentuh soal hubungan dua hala Malaysia-AS di samping peranan Malaysia dalam dunia Islam dan isu berkaitan undang-undang yang baru diluluskan di Parlimen mengenai perniagaan antarabangsa strategik serta perkara berhubung soal urus niaga antarabangsa.

Kedua-dua pemimpin juga akan menyentuh soal keselamatan rantau Asean, secara khusus, selain berbincang cara mana Malaysia dan AS boleh mengubah hala tuju hubungannya. “Inilah pertama kali kita lihat Perdana Menteri dapat berbincang secara ikhlas dengan Presiden AS dalam bentuk perbincangan dua hala. Isu yang dibangkitkan nanti akan menentukan warna dan masa depan hubungan kedua-dua negara,” katanya.

Perdana Menteri juga akan menemui Naib Presiden, Joe Biden, ahli Kongres, Senat dan tokoh korporat, pelabur dan ahli perniagaan. Rais yakin pertemuan Najib-Obama akan menghasilkan perkembangan positif. “Peluang yang diperoleh Perdana Menteri adalah satu perkembangan yang baru yang sebelum ini belum wujud dalam sejarah hubungan dua hala Malaysia-AS. Dengan peluang yang terbuka sekarang ini saya yakin masa depan hubungan kedua-dua negara ini akan membuka vista baru atau jendela baru bukan saja berkenaan soal politik antarabangsa tetapi juga soal perniagaan,” katanya.

Mengenai isu dua tahanan rakyat Malaysia di penjara Guantanamo, Rais yakin perkara itu juga akan dibincangkan.

Sumber : Berita Harian

Saya menyeru supaya pemimpin Malaysia tidak menurut kehendak orang lain terutamanya orang-orang yang dikawal Zionis. Jangan gentar dengan tekanan yang diberikan. Selagi mana kita yakin apa yang kita lakukan dapat memberi kebaikan kepada seluruh rakyat di bawah jagaan kita, kita perlu yakin dan berpegang teguh dengan pendirian kita.

Sebagai seorang mahasiswa yang mendalami bidang Kaji Bumi, atau saintifiknya Geologi, pembinaan loji nuklear di Malaysia perlu diteruskan. Kita perlu melihat kebaikan dari keburukan sesuatu perkara. Saya faham, ramai yang tidak bersetuju dengan pembinaan loji nuklear. Tetapi, jika loji nuklear yang dibina itu semata-mata hanya untuk menjana elektrik, saya meminta dan memohon supaya seluruh rakyat Malaysia menyambut baik dan menyokong.

Ini kerana, loji nuklear untuk tujuan menjana elektrik, mampu menurunkan tariff elektrik bagi seluruh penduduk sekitar, dan ianya tidak memerlukan tenaga yang banyak seperti mana penjanaan elektrik dari empangan atau menggunakan teknik hidroelektrik. Selain itu, ianya merupakan jenis yang sesuai untuk melestarikan sesuatu tempat. Melalui kajian, keamatan cahaya bagi lampu jenis kalimantang (pendarfluor) di Korea menggunakan tenaga elektrik yang dihasil di Korea, lebih kurang kadar radioaktifnya berbanding lampu kalimantang yang menggunakan tenaga elektrik yang menggunakan teknik hidroelektrik.

Walaupun banyak memberi kebaikan, saya memohon juga kepada pemimpin, pemilik, dan pihak berkuasa untuk sentiasa memantau. Saya tidak mahu kerana pembinaan loji nuklear, kita mengorbankan 7 generasi bangsa yang serba kekurangan akibat terkena sisa radioaktif seperti yang berlaku di Hiroshima dan Nagasaki. Sehingga kini, penduduknya masih lagi terseksa dengan kesan radioaktif akibat Bom Hidrogen yang dilepaskan oleh Amerika Syarikat pada 6 Ogos 1941.

Ikhlas,

rasydan
Mohd Rasydan Mohd Rais
(Mahasiswa Geologi Tahun 3)


0 Comments:

 
blogspot counter